KUALA NERUS - Penantian sejak lebih lima tahun rakyat negeri ini untuk
melihat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, kembali
bersinar seakan menampakkan petanda positif apabila kerja penambahbaikan
sedang giat dilakukan.
Stadium yang menelan kos RM291 juta dan pertama di Asia menggunakan
rekaan bumbung tanpa sokongan tiang itu menyembah bumi pada 2 Jun 2009,
selepas tidak sampai setahun digunakan, sekali gus mencetuskan pelbagai
polemik serta kemarahan rakyat negeri ini.
Tidak cukup dengan insiden yang disifatkan memalukan itu, kerajaan
negeri terus dihentam dengan pelbagai tohmahan setelah struktur utama
bumbung stadium yang menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) ke-12
2008, di mana pada ketika itu Terengganu menjadi tuan rumah buat kali
pertama.
Bermula dari situ jugalah Terengganu terus diberi gelaran ‘Darul
Runtuh’ oleh pelbagai pihak yang turut terkejut dengan kejadian
berkenaan, di samping mendapat liputan menyeluruh pihak media.
Bahan binaan tidak berkualiti
Pada 18 Julai 2013, Dewan Rakyat dimaklumkan penggunaan bahan binaan
dan kualiti kerja yang tidak mengikut spesifikasi dalam pembinaan SSMZA
antara punca yang menyebabkan keruntuhan struktur bumbung stadium
terbabit.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata,
jawatankuasa penyiasat kementerian itu juga mendapati faktor lain
adalah rekaan bentuk bumbung yang tidak memadai serta pengawasan dan
kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak projek.
Rentetan itu, kontraktor asal yang terlibat sudah didakwa dan sedang
dalam proses perundangan, sekali gus bakal menjawab siapa sebenarnya
yang bertanggungjawab dalam insiden memalukan itu.
Malah, turut difahamkan, berdasarkan perjanjian asal sepatutnya kos
membaik pulih stadium yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penonton itu
ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor terlibat.
Runtuh kali kedua
Bagaimanapun, isu stadium runtuh sekali lagi menghangatkan suhu politik
di negeri ini apabila ia runtuh kali kedua hingga mengakibatkan lima
pekerja dengan tiga daripadanya parah setelah dihempap kerangka lama
bumbung yang dalam proses perobohan.
Akibat itu juga, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad
Said sering dikritik dan didakwa tidak serius menyelesaikan isu stadium
berkenaan kerana ramai beranggapan tiada sebarang tindakan diambil.
Walhal, kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilakukan sebaik siasatan
oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai
dilakukan, namun disebabkan proses membaik pulih dilihat berjalan
‘perlahan’ ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati.
Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya
dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman setelah meluangkan masa
kira-kira satu jam meninjau kerja membaiki di stadium tersebut,
kelmarin, mampu menghapuskan keraguan ramai pihak terhadap status
sebenar SSMZA.
Stadium selamat digunakan
Menurut Rosli, kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif sendiri
dengan mengeluarkan belanja sebanyak RM14.7 juta untuk membaiki tempat
duduk di bahagian timur dan barat serta membaiki padang bagi membolehkan
dua pasukan bola sepak Terengganu menjalani latihan di situ.
“Kita telah melantik dua kontraktor untuk membaiki tempat duduk di
kedua-dua bahagian berkenaan yang telah dimulakan pada Oktober 2012 , di
mana status di bahagian tempat duduk barat telah mencapai 99 peratus
siap, manakala timur 75 peratus dan kedua-duanya dijangka siap
sepenuhnya Mei tahun ini.
Sinar Harian semalam menyiarkan kerja baik pulih bahagian tempat duduk
dan padang rumput giat dilakukan sebagaimana yang dicadangkan ia untuk
kegunaan latihan bagi dua pasukan bola sepak iaitu Terengganu dan
T-Team, manakala kemudahan lain masih lagi dalam perancangan fasa
seterusnya.
Beliau berkata, kajian dan perbincangan secara khusus untuk mencari
kaedah terbaik membaik pulih stadium berkenaan perlu dilakukan secara
teliti memandangkan tiada peruntukan khusus untuk tujuan itu.
Stadium tanpa bumbung
“Berkait dengan penggunaan bumbung atau rekaan bumbung untuk stadium
ini kita masih belum putuskan kerana kita perlu mendapat pandangan ramai
pihak memandangkan ia memerlukan belanja yang besar.
“Jadi, buat masa ini, stadium akan digunakan tanpa bumbung dan kita
harap semua pihak tidak lagi ragu dengan status keselamatan di sini
kerana kajian serta analisis telah dilakukan oleh pakar forensik Jabatan
Kerja Raya (JKR) dan ia terbukti selamat untuk digunakan,” katanya.
Dianggarkan kira-kira RM100 juta diperlukan untuk membaiki keseluruhan
kemudahan di stadium berkenaan termasuk pusat boling, skuasy, bilik
persalinan dan lain-lain kemudahan.
Justeru, dengan penjelasan yang diberikan itu, diharap mampu menutup
sebarang keraguan mengenai status stadium berkenaan dan diharap
kemudahan yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan rakyat di negeri
mampu memberi manfaat kepada semua pihak.
Kontroversi stadium berakhir - Liga Malaysia - Sinar Harian
#STADIUMSULTANMIZAN

No comments:
Post a Comment